Friday, December 31, 2010

Melaboh Tirai 2010 dengan penuh keazaman.......KBS bangkitlah dari tidurmu yang panjang???

Untuk lebih berjaya. Untuk berdaya maju. Untuk lebih ke hadapan. Belia dambakan suatu medan perjuangan yang lebih telus dan berani. Kini pergerakan belia dilihat lebih bermaya sebelum Akta 668 mengambil tempat. Namun empat sudut kotak undang-undang semata tanpa suntikan tenaga takkan mampu menggerakkan enjin yang mahu bergerak. Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mesti punya daya refleksi memahami permasalahan asas sebegini.

Usahlah bawa cadangan yang jauh dari misi sebenar bagaimana belia harus digerakkan. Bank Belia ibarat omongan kosong yang tiada membawa erti apa-apa melainkan khayalan yang sukar untuk dilihat jadi realiti. Segeralah berjejak di atas tanah yang masih subur dengan air hujan. Jangan nanti kemarau mendatang, tanah langsung akan terus merekah dan kontang. Ketika bumi suburlah benih mesti disemai kerana tanah sedemikian sudah sediakalanya berbaja.

Berlari mengejar pelangi pasti tak akan sampai ke destinasi. Hanya memegunkan kepimpinan belia dengan janji-janji kosong warna sang pelangi indah. Namun lopong. Belia tidak mahu dpermainkan begitu.

Sebagai golongan yang paling interaktif, belia mahukan sesuatu lebih lebih telus, jujur dan ikhlas. Barulah akan dapat dilihat ketaatan dari luhur hati mereka. Namun jika belia dikasari dengan herdikan disuruh membanting tulang sendiri sebelum menanak nasi, pasti belia akan meninggalkan persada pergerakan belia yang bertujuan untuk membangunkan daya kepemimpinan belia.

Institusi pergerakan belia adalah suatu institusi latihan kepemimpinan. Ianya bukanlah institusi pergerakan politik pilihanraya. Institusi ini tidak mengerti helah mainan ala politikus usang. Institusi ini jua tiada kenal budaya herdik maki hamun jelekan. Institusi ini amat bermaruah. Amat mengesankan ahli-ahlinya. Institusi ini kadang sentimental kerana ia mengajar erti perjuangan. Kesusahan biasa jadi santapan harian. Kepayahan jua adalah sebahagian catatan diari penggembleng institusi pergerakan belia ini. Jangan diambil kesempatan atas sikap naif keadaan sedemikian dengan mereka dijadikan kuda gembalaan. Adakanlah sedikit rasa hormat dan kasihan kepada semua pendukung pergerakan belia itu.

Itu sebahagian yang berfikiran harus tutur kata jadi lembut simfoninya. Namun ada juga ingin kasar tegas, marah menjerit. Kata mereka.... Mahu lantang Macam suara puitis Pak Chairil Anwar dalam sajaknya "Aku", puisinya "Semangat! Mahu gegar tanah Semenanjung ini hingga suara di Borneo bisa mendengar rintihan. Bukan nak merintih tapi nak memberitahu. Bukan sekadar nak mengkhabarkan tapi mahu ianya dibuat begini dan begini.

Ini zaman pasca moderen. Ini zaman maklumat sampai sederas teknologi. Ini zaman mereka bilang media baru. Jaringan sosial bertautan. Bukan sekadar jeritan ala "Jamban Setinggan" dalam coretan Pak Samad Said. Itu zaman itu. Zaman Pak Menteri dan zaman Dato' KSU dan Dato' KP. Ini zaman anak usia pra sekolah sudah pandai berbicara dan berbahas.

Makanya, Kementerian Belia dan Sukan mesti tahu. Bukan sekadar portfolio Sukan yang mereka teraju malah sebenarnya mereka harus, mesti dan faham bahawa mereka terajui suatu bidang yang amat penting dalam struktur kependudukan di Malaysia. Iaitu golongan belia!!!!!

Golongan belia itu siapa? Banyak benar kini istilah lain yang menafsirkan golongan belia di Malaysia. Dalam koleksi negatif kita boleh tulis mereka sebagai shufflers, punksters, rappers, techtonic boys n girls, head bangers, rider maut, 3 line dan bagai-bagai lagi. Adapun golongan ala-negatif kita juga panggil mereka drifters, draggers, bikers dan bagai-bagai juga. Mereka juga ada yang jadi penyumbang anak-anak Malaysia tanpa bapa. Anak-anak Malaysia Tong Sampah dan bagai-bagai ragam.

Golongan belia tersebut juga sedang menjadi pembentuk budaya Tanpa Sijil Nikah Yang Sah. Mereka juga sedang merancang untuk menjadi perompak antarabangsa dalam metode Cyber Criminial. Apakah KBS sedar ini semua? Apakah KBS masih buta Teknologi Maklumat dan Teknologi Bicara. Adakah KBS nak menunggu Teknologi Gelombang yang memperkenalkan perkakasan hologram. Ini baru zaman Televisyen dan jangan menanti zaman Telepresence sampai di bumi Asia Tenggara.

KBS mesti segera peka dan peka dan lebih peka dan terus peka kepada perubahan secara digital yang cukup mendadak dan meledak. Usah menung dan menagih korupsi akal yang tak mampu nak meneroka peredaran masa yang pantas dan amat pantas. Usahlah didadahi dengan budaya cukup muat dengan berkata... Eh! kami sudah buat itu dan ini. Sedangkan itu semua sudah dilapuki detik saat jarum jam yang berdetak.

Barangkali kesombongan jiwa dan rohani, maka KBS terus mundur dan memundur ke belakang. Tiada lagi tahu dan mahu. Tiada lagi ingin dan kepingin. Lalu belia Malaysia jadi jiwa dan jasad yang terpenjara dalam edaran masa dan tempat. Turunlah ke bawah dan jadi belia semula. Bukan sahaja Akta mesti diaktai malah sikap jua mesti disikapi. Agar nanti Malaysia tidak jadi anarki dek kerana tiada orang lagi yang mahu memimpin dan dipimpini.

Gelodak budaya pasca moderen pasti tiada kenal erti noktah. Budaya pasca moderen mahu jadi lebih ganas dan mengganas. Sasaran budaya ini adalah golongan belia kerana golongan inilah yang boleh diperdaya walau melalui telefon bimbit dan khidmat pesanan ringkas.. Seringkas nano dan belia pun dipangkas jiwanya.

Monday, December 27, 2010

Sedar tak sedar, kita meninggalkan 2010 yang kian pergi

Jika Hijrah... ianya telah melepasi kita. Namun Tahun Gregori akan jelang tak lama lagi. 2010 akan meninggalkan kita. Sampai aku lupa mencatatkan bahawa pada 16 Ogos lepas, Ahmad Yusuf Imran Luthfi selamat dilahirkan. Dan juga Muna Munirah telah menjelang 3 tahun usianya pada 5 Ogos lepas. Aku pula telah mencapai 38 tahun pada 24 Jun yang lepas. Dan isteriku pada 19 Mac yang lepas dia telah 4 tahun muda dariku.

Ini catatan pada 27 Disember. Aku akan harus menulis lagi. Mencatat dan mencatat perjalanan hidup dan diariku di sini. Selamat Berjaya untuk semua pembaca. Moga tahun baru 2011 memulakan kita dengan angka 1 kembali.....


Tuesday, August 10, 2010

Perjalanan ini mesti diteruskan

Biar badai, ombak, halangan, cabaran dan apa jua. Perjalanan ini mesti diteruskan!

Sunday, February 7, 2010

Ucapan di Malam Setahun Melayari Arus

Bismillahir Rahmanir Rahim

Assalamualaikum WRT WBK

Salam Sejahtera

Dan Salam Satu Malaysia

1. Yang Berhormat Dato’ Shaarani Mohamad, Pengerusi Majlis;

2. Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr Zambry bin Abdul Kadir, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, dan Datin Seri;

3. Yang Berbahagia Tan Sri - Tan Sri, Dato Seri – Dato Seri, Dato – Dato, Ahli-ahli Yang Berhormat, para pemimpin masyarakat berbilang kaum serta isteri masing-masing dan para hadirin yang dihormati sekalian.

Nama saya Ahmad Ansor bin Muhd Rivai Batubara, mewakili Sekretariat Gabungan NGO-NGO Melayu Perak yang dianggotai oleh 100 buah pertubuhan NGO.

Terlebih dahulu saya ingin merafakkan setinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana diberikan kesempatan untuk berucap di Majlis yang sungguh bermakna ini. Juga saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak Urusetia yang telah memberikan saya kesempatan ini.

Hadirin yang dihormati,

1. Firman Allah dalam Surah Ali-‘Imran Ayat 26. Katakan: Wahai Allah yang memiliki kerajaan! Engkau BERIKAN kerajaan kepada siapa yang Engkau kehendaki, dan Engkau AMBIL kerajaan dari siapa yang Engkau kehendaki, dan Engkau MULIAKAN siapa yang Engkau kehendaki dan Engkau RENDAHKAN siapa yang Engkau kehendaki, DI TANGAN Engkaulah kebaikan; SESUNGGUHNYA ENGKAU BERKUASA ke atas segala sesuatu.

2. Manifestasi dari Firman Allah ini telah memberi ruang dan peluang kepada insan bernama ZAMBRY BIN ABDUL KADIR untuk menjadi Menteri Besar yang menerajui Kerajaan Negeri Perak bermula dari 6 hb Februari 2009.

3. Walaubagaimanapun, insan bernama Zambry ini telah diduga dan diuji dengan pelbagai ujian serta cabaran yang amat getir. Dari saat-saat awal beliau dilantik Menteri Besar, beliau telah diuji dengan demonstrasi yang diadakan di perkarangan Istana. Mereka yang berdemonstrasi itu sanggup berguling-guling di atas jalan sebagai tanda menentang perlantikan beliau. Dari saat itu sehingga kini, Dato’ Seri Dr Zambry tidak pernah terlepas dari serangan pihak lawan, tak kira sama ada di kedai kopi, di surau dan masjid, di pentas ceramah, di Dewan Undangan Negeri, mahu pun di Mahkmah.

4. Kami amat kagum dengan tahap ketahanan Dr Zambry, malah nampaknya beliau ini semakin diserang, menjadikan beliau lebih perkasa. Syabas Dato’ Seri Dr Zambry bin Abdul Kadir. Dan marilah kita berikan tepukan bergemuruh kepada beliau. [tepukan]

5. Pada hari ini, genap setahun YAB Dato’ Seri Dr Zambry melayari arus, menongkah pelbagai gelombang. Pada kesempatan ini kami ingin menyuarakan dengan jelas dan nyata bahawa Dato’ Seri tidak berlayar seorang diri. Kami tetap bersama-sama dalam pelayaran Dato’ Seri, biar sederas mana arus dan sebesar mana gelombang yang kita perlu harungi bersama.

Sidang hadirin yang dimuliakan,

6. Sokongan ini bukan tidak bersebab dan bukan sekadar pemanis kata. Apa yang kami perlukan ialah seorang pemimpin waja, seorang pemimpin yang berwibawa dan perihatin terhadap masalah serta kepentingan rakyat. Sifat-sifat serta sikap ini KENTAL dimiliki oleh YAB Dato’ Seri Dr Zambry. Selagi sikap dan sifat-sifat ini terpahat pada Dato’ Seri, selagi itulah kami menyokong kepimpinan Dato’ Seri.

7. Kami yang menganggotai Sekretariat Gabungan NGO-NGO Melayu Perak berpegang teguh kepada prinsip,

“ADAT BERBANGSA HIDUP SERUMPUN
ADAT BERAJA KESETIAAN DIRIMBUN”

Hadirin yang dihormati sekalian,

8. Kami juga berpegang teguh kepada amalan PERKASAKAN AKAL, BERKONGSI PERASAAN. Di atas prinsip dan amalan itu, kami padukan sokongan terhadap kerajaan pimpinan Dato’ Seri.

9. Kami amat bertuah kerana kami telah diasuh dan dibimbing oleh seorang CIKGU supaya BERSATU HATI dalam menyokong kebenaran. Kepada CIKGU ini kami amat rasa terhutang budi.

10. Di atas lunas-lunas itu dan berbekalkan prinsip perjuangan serta perpaduan, kami akan MENENTANG mana-mana jua pihak yang memporak perandakan keamanan serta kesejahteraan rakyat dan negeri Perak tercinta ini. Kami tidak gentar dalam mempertahankan kebenaran dan meletakkan hak kepada yang berhak.

Taufan dan badai akan kami harung
Jiwa yang besar ini berani bertarung
Menentang penderhaka dan musuh yang tongong

Wahai Yob dan Yong
Dalam perjuangan, kebenaran perlu kita junjung
Di mana jua, di pejabat mahupun di warung

Kita mestilah bergerak sederap
Di atas satu jamaah yang tegap
Berdiri, berjalan dan berlari dengan mantap
Jangan hanya melambung harap

Kita perlu sampai ke destinasi
Di malam yang sungguh mulia ini
Kita kentalkan semangat dan iltizam murni
Untuk bersama-sama BERJUANG dengan Zambry

Ayuh, kita kibarkan bendera keamanan
Kita kobarkan semangat penuh keazaman
Allah akan memberi pertolongan
Sepanjang perjalanan kita menuju kemuliaan

11. Dengan nada dan nadi yang tidak perlu diragui. Kami anggota Sekretariat Gabungan NGO-NGO Melayu Perak, dengan ini menyatakan sepenuh sokongan kepada kepimpinan YAB Dato Seri Dr Zambry selaku Menteri Besar Perak Darul Ridzuan.

12. Diiringi dengan doa semoga Allah melindungi YAB Dato Seri Dr Zambry dan memberikan kekuatan serta taufiq dan hidayahNya supaya Dato’ Seri mampu menerajui kami ke puncak kegemilangan.

13. Sekian. Wabillahi Taufiq Wal Hidayah. Wassalamualaikum. Warahmatullahi Ta’ala. Wabarakatuh.

Monday, January 4, 2010

Hari ini hari lahir Azizah

Hari ini adalah hari Azizah dilahirkan. Namanya Nurazizah Hanim. Anak sulungku. Aku sayang padanya. Demikianlah rasajiwa seorang bapa. Sesiapapun. Kembara menjejaki ayat ke 46 Surah Al Kahfi.


Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi saleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Allah serta lebih baik untuk menjadi harapan.


Sepertimana yang telah dikisahkan kepada kita tentang dua orang pekebun yang hebat. Seorang itu Mu'min dan seorang lagi Kafir. Mereka adalah pekebun anggur. Ya, anggur adalah bahan ekstrak yang boleh diproses menjadi arak. Dahlah anggur itupun sendirinya sedap. Juga boleh dijadikan kismis. Pastilah mereka berdua ini amat kaya orangnya.


Bukan sahaja anggur ditanam malah ada juga ditanam pohon kurma. Ada juga ladang-ladang yang lainnya. Ada pula sungai yang mengalir di tengah-tengah ladang yang besar itu. Sungguh subur ladang mereka yang menghasilkan buah-buah yang amat banyak dan ranum-ranum belaka.


Bingkisan kali ini akan disambung pada helaian yang berikutan.

Saturday, January 2, 2010

TAKBOLEH gunapakai Kalimah ALLAH selain maksudnya Tuhan Yang Maha Satu

Salam Perjuangan. Kembara menuju ke ayat 40 Surah At Taubah. Yang mana ayat ini refleks kepada ayat-ayat yang sebelumnya. Maka Allah berFirman kepada Orang-orang Yang Beriman. Di mana kala itu Orang Yang Beriman jadi lupa seketika dan bersangka Hidup di Dunia itu bagai baqa' dan hampir lupa bahawasanya Hidup di Akhirat lebih Nikmat. Demikianlah bila mereka diminta untuk berangkat ke Tabuk dan berperang pada jalan Allah mereka berasa berat.


Seperti hari ini jua, bila diajak berperang di jalan Allah agar Takbolehkan Cetakan Kristian menggunakan nama Allah pada sebaran media mereka, ramai juga masyarakat beriman di Malaysia jadi berat untuk ikut serta.


Ya, jika kamu tidak mahu berangkat segera dan berjihad di Jalan Allah untuk menentang isu penggunaan nama Allah sepertimana enggannya mereka yang terdahulu ke medan Tabuk, maka ingatlah pesan Allah. NESCAYA ALLAH MENYIKSA kamu dengan SIKSA YANG PEDIH dan lagi. AKAN DIGANTIKAN KAMU DENGAN KAUM YANG LAIN. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa.


Sehingga terlalu banyak bijak pandai atas nama "ulama dan intelektual Islam" tampil dengan pelbagai aliran pandangan yang cukup liberal. Sehinggakan pandangan mereka tiada mampu dijustifikasikan dengan sintaksis tatabahasa Melayu ataupun persekitaran sosio budaya masyarakat majmuk di Malaysia. Toleran masyarakat Melayu kepada konsep berbilangan kaum dalam satu kewarganegaraan telah diambil kesempatan oleh golongan musuh untuk mengaut segala apa sahaja yang memberikan keuntungan kepada mereka. Sehingga mereka lihat ruang untuk mencabar sesuatu yang telah menjadi Hak Mutlak masyarakat Muslimin Malaysia untuk mereka robek koyak.


Ketika kisah Tabuk sedang lunak dimerdui oleh sang Qari tadi, kisah Junjungan Muhammad dan Abu Bakar Ar Rashiid disisipkisahkan bagi menghurai ketakutan jiwa yang melanda mukminin yang takmahu berperang di jalan Allah.


Allah berpesan lagi. Jika kamu tiada mahu menolong Muhammad mempertahankan agama Islam, maka sesungguhnya Allah menolong Muhammad. Ketikamana orang-orang Kafir mengahalau Muhammad keluar dari Mekah. Mereka terus memburu Muhammad yang lari bersama Abu Bakar. Dan sampai sahaja di gua, Abu Bakar merasa amat takut dan gentar. Takut bukan kerana nyawa yang akan diambil. Takut Abu Bakar kiranya sang musuh mahu ganas merobek nyawa Nabi dan dia takut jika dia tak mampu pertahankannya.


Lalu Muhammad berkata kepada temannya. Janganlah engakau takut dan gentar wahai Abu Bakar. Sesungguhnya Allah bersama-sama kita. Dan tentera-tentera yang tidak boleh dilihat manusia telah MEMBANTU Nabi mencapai kemenangan. Allah telah menjadikan seruan Orang-orang Kafir sebagai seruah sang Bodohan. Lalu ditegaskan - KALIMAH ALLAH ITULAH YANG MAHA AMAT PALING AGUNG DAN TINGGI. Allah Maha Perkasa Lagi Maha Bijaksana.


Maka ketentuan Allah pasti datang. Kita mesti jelas tentang pendirian kita bahawa TAKBOLEH sang Herald gunakan kalimah Allah pada terbitannya. Janganlah sahabat Muslimin kita cuba perlecehkan kita kerana mempertahankan YANG HAK ini. Kerana jika mereka tak mahu menolongpun bukanlah mereka yang mampu memberikan pertolongan itu. Dalam hal ini BERIMANLAH kita bahawa ALLAH MAHA PERKASA DAN ALLAH MAHA BIJAKSANA. Tugas kita adalah MENENTANG KEBATHILAN itu. Kemenangan akan diberikan Allah dan percayalah. ALLAH BERSAMA KITA, JANGANLAH KITA BERSEDIHAN.