Sunday, February 7, 2010

Ucapan di Malam Setahun Melayari Arus

Bismillahir Rahmanir Rahim

Assalamualaikum WRT WBK

Salam Sejahtera

Dan Salam Satu Malaysia

1. Yang Berhormat Dato’ Shaarani Mohamad, Pengerusi Majlis;

2. Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr Zambry bin Abdul Kadir, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, dan Datin Seri;

3. Yang Berbahagia Tan Sri - Tan Sri, Dato Seri – Dato Seri, Dato – Dato, Ahli-ahli Yang Berhormat, para pemimpin masyarakat berbilang kaum serta isteri masing-masing dan para hadirin yang dihormati sekalian.

Nama saya Ahmad Ansor bin Muhd Rivai Batubara, mewakili Sekretariat Gabungan NGO-NGO Melayu Perak yang dianggotai oleh 100 buah pertubuhan NGO.

Terlebih dahulu saya ingin merafakkan setinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana diberikan kesempatan untuk berucap di Majlis yang sungguh bermakna ini. Juga saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak Urusetia yang telah memberikan saya kesempatan ini.

Hadirin yang dihormati,

1. Firman Allah dalam Surah Ali-‘Imran Ayat 26. Katakan: Wahai Allah yang memiliki kerajaan! Engkau BERIKAN kerajaan kepada siapa yang Engkau kehendaki, dan Engkau AMBIL kerajaan dari siapa yang Engkau kehendaki, dan Engkau MULIAKAN siapa yang Engkau kehendaki dan Engkau RENDAHKAN siapa yang Engkau kehendaki, DI TANGAN Engkaulah kebaikan; SESUNGGUHNYA ENGKAU BERKUASA ke atas segala sesuatu.

2. Manifestasi dari Firman Allah ini telah memberi ruang dan peluang kepada insan bernama ZAMBRY BIN ABDUL KADIR untuk menjadi Menteri Besar yang menerajui Kerajaan Negeri Perak bermula dari 6 hb Februari 2009.

3. Walaubagaimanapun, insan bernama Zambry ini telah diduga dan diuji dengan pelbagai ujian serta cabaran yang amat getir. Dari saat-saat awal beliau dilantik Menteri Besar, beliau telah diuji dengan demonstrasi yang diadakan di perkarangan Istana. Mereka yang berdemonstrasi itu sanggup berguling-guling di atas jalan sebagai tanda menentang perlantikan beliau. Dari saat itu sehingga kini, Dato’ Seri Dr Zambry tidak pernah terlepas dari serangan pihak lawan, tak kira sama ada di kedai kopi, di surau dan masjid, di pentas ceramah, di Dewan Undangan Negeri, mahu pun di Mahkmah.

4. Kami amat kagum dengan tahap ketahanan Dr Zambry, malah nampaknya beliau ini semakin diserang, menjadikan beliau lebih perkasa. Syabas Dato’ Seri Dr Zambry bin Abdul Kadir. Dan marilah kita berikan tepukan bergemuruh kepada beliau. [tepukan]

5. Pada hari ini, genap setahun YAB Dato’ Seri Dr Zambry melayari arus, menongkah pelbagai gelombang. Pada kesempatan ini kami ingin menyuarakan dengan jelas dan nyata bahawa Dato’ Seri tidak berlayar seorang diri. Kami tetap bersama-sama dalam pelayaran Dato’ Seri, biar sederas mana arus dan sebesar mana gelombang yang kita perlu harungi bersama.

Sidang hadirin yang dimuliakan,

6. Sokongan ini bukan tidak bersebab dan bukan sekadar pemanis kata. Apa yang kami perlukan ialah seorang pemimpin waja, seorang pemimpin yang berwibawa dan perihatin terhadap masalah serta kepentingan rakyat. Sifat-sifat serta sikap ini KENTAL dimiliki oleh YAB Dato’ Seri Dr Zambry. Selagi sikap dan sifat-sifat ini terpahat pada Dato’ Seri, selagi itulah kami menyokong kepimpinan Dato’ Seri.

7. Kami yang menganggotai Sekretariat Gabungan NGO-NGO Melayu Perak berpegang teguh kepada prinsip,

“ADAT BERBANGSA HIDUP SERUMPUN
ADAT BERAJA KESETIAAN DIRIMBUN”

Hadirin yang dihormati sekalian,

8. Kami juga berpegang teguh kepada amalan PERKASAKAN AKAL, BERKONGSI PERASAAN. Di atas prinsip dan amalan itu, kami padukan sokongan terhadap kerajaan pimpinan Dato’ Seri.

9. Kami amat bertuah kerana kami telah diasuh dan dibimbing oleh seorang CIKGU supaya BERSATU HATI dalam menyokong kebenaran. Kepada CIKGU ini kami amat rasa terhutang budi.

10. Di atas lunas-lunas itu dan berbekalkan prinsip perjuangan serta perpaduan, kami akan MENENTANG mana-mana jua pihak yang memporak perandakan keamanan serta kesejahteraan rakyat dan negeri Perak tercinta ini. Kami tidak gentar dalam mempertahankan kebenaran dan meletakkan hak kepada yang berhak.

Taufan dan badai akan kami harung
Jiwa yang besar ini berani bertarung
Menentang penderhaka dan musuh yang tongong

Wahai Yob dan Yong
Dalam perjuangan, kebenaran perlu kita junjung
Di mana jua, di pejabat mahupun di warung

Kita mestilah bergerak sederap
Di atas satu jamaah yang tegap
Berdiri, berjalan dan berlari dengan mantap
Jangan hanya melambung harap

Kita perlu sampai ke destinasi
Di malam yang sungguh mulia ini
Kita kentalkan semangat dan iltizam murni
Untuk bersama-sama BERJUANG dengan Zambry

Ayuh, kita kibarkan bendera keamanan
Kita kobarkan semangat penuh keazaman
Allah akan memberi pertolongan
Sepanjang perjalanan kita menuju kemuliaan

11. Dengan nada dan nadi yang tidak perlu diragui. Kami anggota Sekretariat Gabungan NGO-NGO Melayu Perak, dengan ini menyatakan sepenuh sokongan kepada kepimpinan YAB Dato Seri Dr Zambry selaku Menteri Besar Perak Darul Ridzuan.

12. Diiringi dengan doa semoga Allah melindungi YAB Dato Seri Dr Zambry dan memberikan kekuatan serta taufiq dan hidayahNya supaya Dato’ Seri mampu menerajui kami ke puncak kegemilangan.

13. Sekian. Wabillahi Taufiq Wal Hidayah. Wassalamualaikum. Warahmatullahi Ta’ala. Wabarakatuh.