PAHIT MANIS BERSAMA KING GHAZ DI KEMENTERIAN DALAM NEGERIPENGENALAN
1. Walaupun pegawai kerajaan memanggilnya King Ghaz, kerana gerun padanya, saya memanggilnya Tan Sri tetapi beliau membahasakan dirinya abang apabila bercakap dengan saya. Beliau adalah seorang intelektual berkelulusan undang-undang dari University College of Wales pada tahun 1951 dan mendapat ijazah sarjana dari London School of Economics pada tahun 1953. King Ghaz adalah seorang civil servant yang cekap dan seorang diplomat yang berkesan. Setelah Menteri Pertahanan Britain Lord Carrington, bersara dari politik, setelah selesai The Falklands War dengan kemenangan Britain ke atas negara Argentina, Tun Ghazali Shafie berbangga kerana beliaulah 'the last, internationally known, member of the Second World War British Intelligence who is still active in office.'
2. Walaupun sebelum menjadi Timbalan Menteri kepada King Ghaz, sebagai pemimpin MAYC, ABIM dan SHAMELIN, saya sering berjumpa dengannya, tetapi beliau secara formal telah memperkenalkan dirinya dan sekaligus menyatakan bahawa dia juga berketurunan Aceh. Yang anehnya bagi saya, pada kesempatan lain, beliau juga telah memperkenalkan dirinya sebagai berketurunan orang asli bila beliau berjumpa dengan orang asli, dan berketurunan Minang bila berjumpa dengan orang Minang, dan berketurunan Mendailing bila berjumpa dengan orang Mendailing.
RUMPUN MELAYU
3. Bila saya bertanya mengenai keturunannya yang sebenar, kerana saya dengar ianya berbeza-beza, bergantung kepada tempat, masa dan orang yang ditemui, beliau dengan mudah melepaskan diri dengan berkata '
serupalah tu, semuanya Melayu ...... semuanya dari satu rumpun Melayu ... yang penting demo seronok mendengar abang satu keturunan dengan mereka ...... asalkan abang tak kata abang orang puteh atau China mereka tak ada sebab tak nak percaya.
Manusia ..... Sanusi ....
suka percaya yang dia suka percaya.' Saya telah mencatat kata-katanya ini.
PERTEMUAN TERAKHIR
4. Walaupun saya menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri tidak sampai dua tahun tetapi itulah jangkamasa saya mendapat pengalaman yang paling banyak yang mencorakkan gaya tindakan saya dalam hidup berpolitikselepas itu. Saya tidak sempat menziarahi Tun Ghazali di rumah adik iparnya Dato' Osman Sham di Damansara Utama, sebaik sahaja saya mengetahui mengenai kembalinya ke rahmatullah; kerana pagi itu saya ke Taman Titiwangsa menziarahi anak perempuan kawan sedarjah saya di MCKK, Dato' Seri Jeneral ( B ) Abd. Ghani Aziz yang meninggal dunia setelah menemui kemalangan motorsikal di Alor Setar. Saya ke Masjid Negara bersama sahabat karib saya Tan Sri Sabaruddin Chik untuk bertemu dengan Tun Ghazali buat kali terakhirnya.
5. Waktu menulis dalam buku catatan di Dewan Persinggahan saya tidak dapat menahan air mata, malah kaku untuk menulis panjang-panjang seperti pengunjung sebelum saya. Saya hanya tulis ' Tun, I owe you so much ' atau ' Tun, saya sungguh banyak terhutang padamu.' Maksud hutang di sini ialah hutang budi dan mengikut pepatah Melayu ' hutang emas boleh dibayar hutang budi dibawa mati.'
SUMBANGAN KE ARAH KEWUJUDAN MALAYSIA
6. Waktu keluar dari Dewan Persinggahan Masjid Negara saya telah bertemu dengan Tan Sri Abang Ahmad Urai seorang tokoh politik veteran dari Sarawak, yang pernah menjadi Presiden Senat Malaysia. Saya telah terdengar beliau menyatakan secara soliloquy rasa kesalnya terhadap surat-khabar kita yang tidak membuat liputan luas yang sepatutnya kepada Tun Ghazali Shafie sebagai tokoh Malaysia yang sungguh berjasa. Katanya 'kalau tak ada dia tak ada Malaysia ini'. Tan Sri Abang Ahmad Urai berkata demikian kerana mengingati jasa Tun Ghazali, di waktu beliau bertugas sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Luar dari tahun 1959 hingga 1970, sebagai orang kanan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman membantu ke arah pembentukan negara Malaysia pada tahun 1963. Kemampuan Tun Ghazali di meja perundingan adalah sesuatu yang mengkagumkan kawan dan lawan.
TUN LEBIH KENAL KELUARGA SAYA
7. Bila saya masuk ke bilik Menteri pada hari pertama saya melaporkan diri kepada Tun Ghazali Shafie saya terkejut bila dia bertanya 'bagaimananakah keluarga adik di kampung?' Saya terpinga-pinga dan tidak tahu menjawabnya kerana saya tidak begitu rapat dengan keluarga saya, sejak belajar di sekolah berasrama lebih 8 tahun dan saya tahu Tun Ghazali tidak kenal ibu dan adik-adik. Menyedari ini Tun meneruskan pertanyaan '..... keluarga kamu di Aceh. Bagaimana dengan Teungku Muhamad Dawud Bereueh .. datuk isteri kamu.'
8. 'Tan Sri kenal dia?' Tun Ghazali menjawab, ' kalau dia dan orang-orang dia tak tolong habislah tentera Gerwani ( Gerakan Wanita Indonesia ) dan sukarelawan PKI ( Parti Komunis Indonesia ) masuk ke Sabah dan Sarawak. Pada waktu itulah saya baru tahu bagaimana pasukan gerilya Aceh telah bergerak bertempur dengan tentera Indonesia di saat sukarelawan PKI berada di sempadan Malaysia dan Kalimantan di waktu Soekarno melancarkan Konfrontasi terhadap Malaysia. Aceh yang memang tidak setuju dengan fahaman sekular komunis yang mempengaruhi Soekarno tidak ingin melihat Indonesia mengambil alih Sabah dan Sarawak.
NASIHAT DI HARI PERTAMA
9. Kami makan tengahari sama-sama di Royal Selangor Golf Club dan pada waktu makan Tun Ghazali memberitahu kepada saya beberapa perkara seperti berikut: a) kerja kita di Kementerian Dalam Negeri adalah menjaga keamanan dan orang tak tahu jika kita berjaya menjaga keamanan itu; tetapi, jika kita gagal orang tahu kita tak buat kerja, (b) kita tak boleh tunggu sesuatu bala dah timpa negara baru kita nak bertindak, kita perlu mengintip orang-orang yang nak buat kacau. Dalam mengecam potensi masalah yang penting ialah orangnya dan bukan organisasinya, c) kita mempunyai antara angkatan polis yang terbaik di dunia, (d) selain MI5 di Britain, CIA di USA, KGB di Russia dan Mossad di Israel kita perlu bangga dengan badan Perisikan Malaysia yang, walaupun kecil, sama cekap dengan yang empat ini, (e) Sanusi jangan harap nak jadi popular dengan bekerja di Kementerian Dalam Negeri, (f) abang tahu awak suka baca. Tapi tak cukup. Kena baca lagi.
MAJALAH INTERNASIONAL DI DALAM TANDAS
10. Malam itu saya dibawa ke rumahnya dan diperkenalkannya dengan isterinya Puan Sri Khadijah. Katanya waktu memperkenalkan isterinya, ' ........ dia ini sepupu Dato' Harun Idris.' Lepas makan malam saya telah singgah di toiletnya. Agak lama juga saya di dalamnya, bukan kerana urusan yang semestinya, tetapi saya melihat-lihat buku dan majalah yang terdapat di dalamnya. Itulah kali pertama saya berjumpa dengan dua buah majalah kegemaran Tun Ghazali yang telah saya langgan sejak itu hingga sekarang sepanjang masa 40 tahun. Dua majalah itu ialah 'The Futurist' dan 'Current History'. The Futurist ialah terbitan USA dan ia mengandungi ramalan dan idea-idea untuk masa depan dunia yang dibuat oleh pemikir-pemikir yang handal di dunia, khususnya dari barat. Current History pula mengandungi karangan-karangan pakar mengenai hal ehwal semasa di seluruh dunia dan ianya juga diterbitkan di USA. Pada waktu itu hanya Tun Ghazali sahaja yang menjadi pelanggan tetap The Futurist dari Malaysia.
PERISTIWA YANG MEMPERKAYAKAN PENGALAMAN
11. Sepanjang saya membantu King Ghaz sebagai timbalannya di Kementerian Dalam Negeri peristiwa berikut telah berlaku silih berganti: 1) Serangan pengikut ajaran sesat ke atas Balai Polis Batu Pahat, 2) Tamil Malar diharamkan kerana menghina Islam, 3) Kapalterbang Garuda dihijack ke Pulau Pinang, 4) Musa Ahmad Pengerusi Parti Komunis Malaya menyerah diri, 5) Pindaan Akta Pertubuhan 1966 yang kontroversial, 6) Botak Chin mengamuk dan memukul warden di Penjara Pudu, 7) Pensyarah Universiti Rahman Embong menjadi anggota Parti Komunis Malaya.
12. Di masa dahulu kedudukan Timbalan Menteri berbeza dari kedudukan Timbalan Menteri sekarang. Timbalan Menteri dengan sendirinya memangku jawatan Menteri apabila Menteri bercuti, sakit atau bertugas di luar negeri. Sekarang ini jika Menteri tidak bertugas maka jawatannya dipangku oleh seorang Menteri dari kementerian lain.
13. Untuk melatih dan memberi pengalaman kepada saya Tun Ghazali telah melibatkan saya dalam semua perbincangan, keputusan dan juga tindakan yang berkaitan dengan 7 peristiwa di atas. Selain itu saya juga telah diminta oleh Tun Ghazali untuk menjadi tuan rumah bagi jamuan makan tengahari yang diadakan, pada waktu itu, dua kali dalam setahun, dengan ketua perisikan 9 buah negara demokrasi dan bukan komunis. Adalah menjadi amalan kerajaan kita membenarkan seorang pegawai perisikan bagi setiap negara ( biasanya berjawatan First Secretary ) yang kita kenal, selainnya, kita tidak tahu berapa orang kesemuanya. Saya sempat menganjurkan makan tengahari sebanyak dua kali.
14. Kerana jamuan makan tengahari inilah maka saya kenal dengan bekas Perdana Menteri Jepun, Taro Aso, dan pernah makan bersamanya di Tokyo kerana abang iparnya Encik Arafune pernah menjadi First Secretary di Kedutaan Jepun di Kuala Lumpur. Sebelum meninggalkan Kuala Lumpur Encik Arafune, yang kemudiannya saya dengar menjadi Duta Jepun di Argentina, telah menghadiahkan sebuah buku bertajuk 'Shibumi', katanya supaya saya lebih dekat mengenal orang Jepun. Bapa kepada bekas Perdana Menteri Jepun Taro Aso dan adiknya, isteri kepada Encik Arafune, adalah pengasas syarikat Japan Steel di Jepun.
LAWATAN KE ISLE OF WRIGHT
15. Dalam satu lawatan ke tempat latihan pegawai perisik Britain di Isle of Wight di seberang Southampton, satu taklimat telah diberi kepada saya dan sekitar masa itulah, waktu di London saya diberitahu bahawa hanya tiga negara saja di dunia yang sistem perisikannya menggabungkan media elektronik nasional, surat khabar nasional dan pejabat perisikan nasional iaitu Britain, Israel dan Singapura. Melalui maklumat inilah maka saya, sebagai Timbalan Menteri kepada Tun Ghazali Shafie selalu memerhatikan wakil-wakil media nasional dari tiga negara berkenaan kerana mereka ada hubungan dengan sistem perisikan negara berkenaan.
LAWATAN KE PENJARA BATH, ENGLAND
16. Dalam satu lawatan lagi ke Britain yang diatur oleh Tun Ghazali saya telah melawat penjara di Bath. Saya hairan kenapa penjara itu yang dipilih oleh Tun Ghazali untuk saya lawati kerana banyak penjara lain yang lebih besar. Bila sampai di penjara itu saya terkejut kerana yang menunggu saya sebagai VIP dengan 'red-carpet'nya ialah warden yang pernah saya bertemu, dan menjaga saya, waktu saya singgah sekejap di penjara Brixton, selepas saya turut terlibat dengan 2 demonstrasi pada tahun 1969 yang membantah pengeboman Masjidil Aqsa oleh Yahudi dan menentang peperangan ke atas Vietnam yang dilakukan oleh Amerika Syarikat. Warden itu dengan senyum lebar telah memulakan taklimat mengenai tahanan pengedar dadah dan penjenayah seumur hidup dengan berkata kepada saya 'How nice to have an inmate as a VIP.' Di sinilah saya pelajari bagaimana makanan untuk banduan dijamin mutunya kerana warden yang bertugas terpaksa makan dulu makanan sebelum ianya diberi kepada banduan. Katanya 'what is good for the warden is good for the prisoners.' Dalam penjara Bath juga saya melihat banduan berlatih untuk 'sukan olympic'. Saya diberitahu banyak rekod olympic seperti angkat berat dipegang oleh banduan yang juga turut berlumba di dalam penjara waktu perlawanan olympic sedang berjalan.
LAWATAN KE PUSAT KUOMINTANG DAN KCIA
17. Tun juga telah memberi kesempatan kepada saya untuk melawat ibu pejabat Parti Kuomintang di Taiwan dan ibu pejabat KCIA ( CIA Korea Selatan ) untuk mendapat taklimat dan mempelajari cara-cara dua institusi ini memerangi fahaman komunis. Di Taiwan bagaimana mereka mengawasi negara China yang berfahaman komunis dan di Korea Selatan mengenai cara mereka menghadapi ancaman Korea Utara.
SERANGAN PELAMPAU KE ATAS IBU PEJABAT POLIS BATU PAHAT
- POLIS TIDAK AKAN TEMBAK DULU
18. Pada bulan Oktober, 1980 satu serangan telah berlaku terhadap Ibu Pejabat Polis Batu Pahat oleh 8 orang fanatik ajaran sesat di bawah pimpinan Ahmad Nasir, seorang yang beragama Islam dari Vietnam. Mereka ditembak oleh polis setelah mereka mencederakan 14 anggota polis dan 9 orang awam. Dalam serangan ini saya melihat betapa disiplin pasukan polis kita. Pihak polis sebenarnya boleh menembak semua penyerang itu sebelum pihak polis dicederakan. Menjawab soalan saya Tan Sri Ghazali memberitahu 'polis tidak akan tembak sebelum mereka diserang .... polis tidak akan tembak dulu ..... kecuali kalau Menteri suruh.' Waktu saya mendengar laporan melalui 'wireless' dan telefon saya hampir-hampir memerintah pihak polis supaya menembak sebelum tangan seorang wanita polis diputuskan, tetapi Tan Sri Ghazali balik terlalu cepat dari toilet sebelum saya sempat memerintah. Itulah sebabnya saya tertanya-tanya kenapa kawan saya Ibrahim Libya telah tertembak di Memali sedangkan sebelumnya kabinet telah mencadangkan supaya saya berjumpa dengannya pada hari Jumaat berikutnya.
PENGHARAMAN TAMIL MALAR
19. Baru saja reda peristiwa di Batu Pahat berlaku pula satu ancaman kepada keselamatan di Pulau Pinang apabila surat khabar Tamil Malar telah menghina ugama Islam. Pada waktu itu Tun Ghazali sedang berada di luar negeri. Saya ditugaskannya supaya melawat kawasan orang asli dalam kawasan pilihanrayanya di waktu beliau tiada. Sebaik saya turun dari helikopter saya telah didatangi oleh seorang pegawai polis setempat bertanyakan keputusan saya ke atas satu demonstrasi besar-besaran yang sedang berlaku di Pulau Pinang sebagai protes terhadap penghinaan Tamil Malar. Mengingatkan demonstrasi ini boleh merebak menjadi brutal maka saya dengan cepat mengharamkan Tamil Malar pada 30 November, 1980. Keputusan ini telah dengan serta-merta menghentikan demonstrasi. Begitu gembira umat Islam di Pulau Pinang sampai wang saya tidak mahu diterima oleh Daud Restoran bila saya makan nasi kandar di sana selepas peristiwa Tamil Malar. Tapi sekali tu lah saja saya dapat nasi kandar percuma. Tun Ghazali telah menelefon saya dari luar negeri dan mengatakan '......... good job ... congratulations ... ' Saya minta maaf kerana tidak berunding dulu dengan beliau untuk buat keputusan. Tun jawab '.......... kalau semua kena tanya abang buat apa ada timbalan. ..... jangan takut buat keputusan ...... kalau salah kenalah hukuman ... lebih baik buat keputusan, walau pun salah, daripada tak buat apa ....... anyway, good decision.'
LESEN UNTUK PENERBITAN TAMIL OSAI DAN THINAMANI
20. Sebaik saja orang-orang Tamil yang berugama Islam bergembira kerana surat-khabar Tamil Malar diharamkan maka orang-orang Tamil Hindu pula kesal kerana mereka hanya boleh baca surat khabar Tamil Nesan saja. Saya pun telah mengarahkan diluluskan dua surat-khabar Tamil bernama Tamil Osai dan Thinamani.
KAPALTERBANG GARUDA INDONESIA DIHIJACK
21. Pada 28 Mac, 1981 kapalterbang Garuda Indonesia jenis DC 8 Penerbangan 206 telah dihijack dari Padang oleh Imran Meuraksa, dari Aceh, dan mendarat di Pulau Pinang. Tun Ghazali panggil saya ke biliknya untuk berbincang. King Ghaz diberitahu penghijack telah meminta supaya Malaysia membekal minyak secukupnya untuk membolehkan kapalterbang itu terbang ke Bangkok. Pada mulanya kami tidak mengetahui tujuan hijack dilakukan. Tindakan pertama ialah menghubungi pihak berkuasa di Indonesia. Kebetulan hari itu hari Sabtu dan kami difahamkan Menteri-Menteri kesemuanya ada di padang golf dengan pesanan supaya tidak diganggu kecuali oleh 'ibu', maksudnya isteri mereka. Kami juga diberitahu para isteri sedang sibuk di meja 'poker' dengan pesanan supaya tidak diganggu kecuali oleh 'bapak', bererti suami mereka. Dengan itu tiadalah yang dapat kami hubungi untuk mendapat pengarahan.
22. Pihak risikan Malaysia telah mendapat senarai penumpang di dalam pesawat itu. Kita kemudiannya berhubungan dengan hijacker untuk mengenal siapakah dia dari antara penumpang dalam senarai. Ternyata namanya tiada dalam senarai. Oleh kerana kita tidak dapat menghubungi pihak Indonesia dan hijacker pula mengancam untuk membunuh tebusan, jika kita tidak bekalkan petrol untuk kapalterbangnya pergi ke Bangkok, maka kita membuat keputusan untuk berdialog dengan hijacker berkenaan. Bila saya dengar namanya ternyata Imran Meuraksa berasal dari Aceh dan kampungnya pula ialah kampung asal nenek saya di mana beliau tinggal setelah berpindah dari Tiro. Imran Meuraksa menyatakan kepada saya dia tidak mahu mati di Malaysia. Beliau hanya mahu petrol dari kita. Dia mahu menuntut dari kerajaan Indonesia supaya melepaskan tahanan yang terdiri dari kenalan dan keluarganya ( mungkin termasuk keluarga saya ) yang berada di dalam penjara di seluruh Indonesia.
23. Setelah kapalterbang diisi dengan petrol dan sudah pun terbang di angkasa Kedah baru pejabat Jeneral Benny Moerdani menghubungi kami untuk menahan kapalterbang itu di lapangan terbang Pulau Pinang. Kami diminta supaya menahan, dan jika perlu, menembak kapalterbang Garuda itu asal ianya tidak mendarat di Thailand. Oleh kerana Tun Ghazali tiada di pejabat waktu Jeneral Benny menelefon maka hubungan telefon saya dengan Benny agak tegang kerana dia mengesyaki saya sengaja melepaskan Imran Meuraksa kerana sekampung asal dengan nenek saya. Akhirnya Imran Meuraksa telah dibunuh mati di Bangkok. Sebenarnya Tun Ghazali ada di sebelah saya waktu saya bercakap dengan Jeneral Benny. Saya dedahkan yang sebenarnya kerana keduanya sudah tiada lagi.
24. Yang aneh ialah sementara Imran Meuraksa menyatakan dia tidak tahu dan tidak pernah menggunakan senapang dan tidak berhasrat untuk membunuh sesiapa, tetapi sekadar menggertak saja supaya keluarga dan kenalannya dilepas dari penjara, pihak Indonesia menyatakan hijack itu ialah kerja komando Jihad yang mempunyai rancangan jahat di Indonesia. Ternyata tidak ada insiden lain, yang berkaitan, selepas peristiwa hijack Garuda ini. Keputusan saya hanya bersandarkan kepada janji Teuku Imran tidak akan membunuh sesiapa. Cadangan menembak kapalterbang di angkasa Kedah, jika sempat atau mungkin, hanya akan memusnahkan kapalterbang dan semua penumpang di dalamnya.
PENGERUSI PARTI KOMUNIS MALAYA BALIK KE MALAYSIA
HUBUNGAN CHINA - CHIN PENG LEPAS CHINA BERBAIK DENGAN MALAYSIA
25. Peristiwa membawa balik Musa Ahmad, Pengerusi Parti Komunis Malaya ke Malaysia pada tahun 1981 adalah satu peristiwa yang sungguh membanggakan. Oleh kerana saya tidak terlibat dalam operasi ini maka pengetahuan saya mengenainya agak terbatas. Saya pun tidak pernah bertanya. Cuma bila saya sudah jadi Menteri penuh dan dilantik pula menjadi Menteri pengiring kepada Zhao Zhi Yang, Perdana Menteri China, waktu dia melawat Malaysia maka sedikit hal yang berkaitan dengan Musa Ahmad telah disentuh olehnya. Betul atau tidak beliau menyatakan kepada saya kita telah bawa balik Musa melalui Nepal dengan menggunakan beberapa lapangan-terbang kecil antara Peking dengan Nepal. Saya juga telah bertanya kepada Zhao Zhi Yang bagaimana negara China boleh terus berbaik dengan Chin Peng dan sekaligus berkawan dengan Malaysia yang dimusuhi oleh Chin Peng.
26. Perdana Menteri Zhao memberitahu saya bahawa China tidak dapat mengenepikan begitu saja Chin Peng yang menjadi kawan waktu Malaya dianggap sebagai musuh. Kini Malaysia sudah menjadi kawan maka Chin Peng diklasifikasikan sebagai kawan lama yang tidak dibuang tetapi tidak dibenarkan mengganggu Malaysia lagi. Katanya pada saya 'biarlah .... lupakanlah pada Chin Peng ..... dia akan meninggalkan bumi ini di dalam jangka masa yang tidak lama lagi, sedangkan hubungan China dan Malaysia hendaklah kekal buat selama-lamanya. Katanya lagi ' jika sikap China, apabila sudah berkawan dengan Malaysia, meninggalkan Chin Peng begitu saja sudah tentu Malaysia tidak akan percaya kepada cara persahabatan China yang akan meninggal Malaysia pula apabila berjumpa dengan kawan baru. Mengikut pepatah China ' kekuatan kuda itu bergantung kepada betapa jauh ianya boleh berlari, sementara keikhlasan hati bergantung kepada jangka masa yang sudah kita lalui. Berilah masa kepada persahabatan China - Malaysia ini.'
PINDAAN KEPADA AKTA PERTUBUHAN 1966
27. Oleh kerana pada tahun tujuh puluhan kegiatan KGB dan CIA begitu cergas di dalam dunia ketiga maka sesuai dengan fikiran Tun Ghazali supaya kita perlu sentiasa siap untuk menghadapi segala kemungkinan maka pertubuhan-pertubuhan di Malaysia hendaklah diawasi dengan lebih rapi. Khususnya sumber kewangan kegiatan mereka.
RAKYAT TERDEDAH KEPADA BERBAGAI IDEA
28. Malaysia ialah sebuah negara yang begitu terdedah dengan berbagai-bagai pengaruh luar apatah lagi kerana pelajar-pelajar Malaysia ramai berada di luar negara. Apa-apa yang tertulis dalam bahasa Tamil di India mempengaruhi mereka yang boleh berbahasa Tamil di Malaysia. Apa yang tertulis dalam bahasa Mandarin di China, Taiwan dan Hong Kong maka ianya boleh menjadi bahan bacaan penduduk Malaysia dari keturunan China yang boleh berbahasa Mandarin. Segala penulisan dalam bahasa Arab juga difahami oleh sebilangan rakyat Malaysia dan karangan dalam bahasa Melayu Indonesia juga menjadi bahan bacaan rakyat Malaysia. Keadaan begini tidak berlaku di Jepun yang semua rakyatnya berbahasa Jepun dan sedikit yang mengerti bahasa lain; atau di Peranchis dan Jerman yang rakyatnya tidak terdedah dengan penulisan dalam bahasa lain yang difahami oleh banyak rakyatnya. Rakyat Malaysia terdedah kepada penulisan hasutan terhadapnya dari berbagai sumber bahasa.
29. Pada 15 Mei, 1981 Akta Pertubuhan 1966 telah dipinda untuk membezakan antara pertubuhan politik dan pertubuhan non-politik. Kita telah memilih Aliran sebagai salah satu badan yang mempunyai kemampuan intelektual untuk berbahas dan berdialog, melalui media, dengan pihak kementerian, sekitar isu pencerobohan pihak asing di dalam pertubuhan-pertubuhan kita. Begitu berkesan kempen kami sebelum meminda Akta Pertubuhan 1966 sehingga dalam ucapan P. Ramakrishnan, President Aliran pada 24 Mei, 2003 dalam majlis jamuan makan malam sambutan Ulangtahun ke 25 penubuhan Aliran beliau telah berkata:
" ..., then Deputy Minister of Home Affairs Sanusi Junid made insinuations about Aliran's "hidden political motives'
Tun Ghazali telah mengingatkan saya ' jangan bimbang mengenai apa yang orang kata terhadap kita yang penting ialah kerja kita berkesan dan matlamat tercapai'.
APAKAH ADA PERSAMAAN ANTARA KOMUNIS DAN ISLAM?
30. Dalam usaha untuk membetulkan arah pemikiran rakyat Malaysia pihak Kementerian Dalam Negeri juga berusaha untuk berdialog dengan mereka yang dikatakan menyeleweng. Contohnya ialah mereka yang berfahaman komunis. Memang ada beberapa orang tokoh Melayu yang dituduh berfahaman kiri, atau menggemari tatacara dan teori komunis tetapi tidak mengaku dirinya komunis. Tetapi apabila Kementerian mengirim Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Sheikh Mohsein dan dua orang kawannya untuk berdialog dengan tokoh politik Melayu yang dikatakan berfahaman komunis, tetapi tidak mengaku diri mereka komunis, Datuk Mohsein, setelah beberapa kali berjumpa dengan dua orang darinya, telah membuat laporan yang mengejutkan yang menyatakan ' setelah kami berdialog dengan mereka dengan panjang lebar beberapa kali dalam seminggu untuk 4 minggu kami berpendapat fahaman komunis itu tidak banyak bezanya dengan fahaman Islam dalam beberapa aspek.'
BOTAK CHIN MENGAMUK DALAM PENJARA PUDU
31. Satu peristiwa yang tidak dapat saya lupakan telah berlaku pada 11 Jun, 1981 apabila Botak Chin telah merusuh, dan memukul warden, di dalam Penjara Pudu. Sekali lagi saya diarah oleh Tun Ghazali untuk menyelesaikan masalah ini. Pertamanya kita perlu memahami erti nama Botak Chin. Ia ialah gabungan dari tiga perkataan Hokkien iaitu Bo Tak Chin yang bererti Tiada ( Bo ), Kerja ( Tak ) Chin ( China ) atau China Tiada Kerja atau 'jobless Chinese'. Di bangunan 'Rumah Akhir' Penjara Pudu ada 6 buah bilik menunggu bagi banduan yang telah dijatuhkan hukuman gantung dan rayuan ampun telah ditolak oleh Sultan atau YDP Agong. Di dalam Penjara Pudu di waktu itu ada kira-kira 36 orang yang telah dijatuhkan hukuman mati walaupun di peringkat mahkamah yang berbeza-beza atau sedang menunggu rayuan pengampunan.
32. Dari antara banduan yang sudah menjalani hukuman yang cukup lama, dan menunggu waktu yang tidak lama lagi untuk dibebaskan, pihak penjara, pada waktu itu, telah memberi sedikit kelonggaran dan sering diberi tugas sebagai mata-mata kerajaan. Dari sumber maklumat ini pihak penjara mendapat tahu Botak Chin sedang membuat persiapan untuk meletupkan Penjara Pudu dan lari keluar. Botak Chin telah mengumpul sedikit demi sedikit bahan-bahan letupan, seperti paku dan karbad, yang dibawa masuk ke penjara secara beransur-ansur, oleh mereka yang melawatnya. Bahan-bahan letupan ini disimpan di dalam tandas. Apabila mata-mata penjara melaporkan perkara ini kepada warden maka pihak warden telah menyerbu tandas berkenaan. Dalam mempertahankan hartanya yang terkumpul itu Botak Chin telah memukul warden dan rusuhan pun berlaku.
33. Bila saya sampai di penjara Botak Chin telah bertanya kepada warden siapa saya. Apabila diberitahu saya Timbalan Menteri yang mempunyai kuasa Botak Chin telah mendekati saya dan membisik rancangan untuk berpakat dengannya supaya jika dia dibebaskan maka dapatlah saya berkongsi hasil rompakannya nanti. Bila saya tersenyum Botak Chin mengubah sikap dan terus bertanya kenapa beliau tidak digantung sampai mati sebagaimana keputusan mahkamah. ' Pasal apa simpan gua, kasi makan, buang duit government. Gantung gua, bakar gua punya body dan buang semua habuk dalam parit dan longkang .. apa tunggu lagi ... takut kah?' Botak Chin berlagak sombong dan marah.
PENGANYAM TIDAK SETUJU LAGI DENGAN HUKUMAN GANTUNG
34. Pihak Ketua Pengarah Penjara telah memberitahu kepada saya bahawa kita kekurangan tali gantung. Baki tali hanya 5 dan itu hanya boleh dipakai kalau ada kes kecemasan. Saya tanya sebabnya tidak dibeli tali tambahan supaya cukup untuk dihabiskan urusan menggantung sekitar lebih 30 orang yang rayuan pengampunannya sudah ditolak. Dalam pertemuan saya dengan penyulam tali gantung di Hay-on-Wye, di sempada England dan Wales, dan berdekatan dengan Kampung Buku yang pertama di dunia, beliau telah menyatakan tentangannya terhadap hukuman gantung, kerana ribuan tali buatannya telah tidak mengurangkan jenayah di dunia ini. Bila saya melawat Penjara Pudu, sekembali dari Britain, mencari tali, saya bertemu lagi dengan Botak Chin. Dia tanya ' bila mahu gantung aku?' Saya beritahu 'sabarlah, belum ada tali.' Botak Chin cadangkan penjara pakai wayar untuk menggantungnya. Bila saya jelaskan bahawa tali gantung yang dicari ialah yang disalut dengan baldu supaya tidak kesakitan bila lehernya terjerut, Botak Chin tanya 'mana lu tahu sakit kah tak sakit kah... yang sudah mati kena gantung ada cakap sama lu?' Selepas dialog inilah pihak penjara telah menukar tali gantung dari yang bersalut baldu dengan yang dianyam dari plastik yang dipakai sekarang.
PENJARA SEBAGAI UNIVERSITI TERAKHIR
35. Saya juga telah melawat penjara-penjara lain seperti penjara Taiping dan penjara di Alor Setar.. Waktu berucap kepada banduan di Taiping saya telah mengisytiharkan penjara sebagai universiti terakhir di dalam hidup manusia. Apabila semua universiti tidak dapat mendidik kita maka penjaralah universiti terakhir. Saya juga telah memberitahu mengenai tenaga banduan yang boleh digunakan dengan cara yang boleh memberi munafaat kepada banduan sendiri. Saya telah mencadangkan supaya banduan mengendalikan perusahaan dobi dan penjara boleh dijadikan sumber bekalan bunga untuk masyarakat. Saya telah ceritakan betapa banduan di penjara di Bath, Britain telah memecahkan beberapa rekod olimpik dan banduan di Korea Selatan pula telah diguna untuk menjadi tenaga kerja membuat lebuh-raya di Saudi Arabia sehinggalah diperotes oleh Badan Hak Asasi Manusia. Kita boleh latih banduan yang berbakat yang akan segera keluar dari penjara menjadi atlet, jaguh sukan dan olahraga.
TENTERA SABILULLAH JADI PAKIDA
36. Dalam lawatan saya ke Taiping saya juga telah berjumpa dengan puluhan Anggota Tentera Sabilullah ( atau Geng Kermit ) yang telah ditangkap kerana terlibat dalam demonstrasi harga beras di depan Pajabat Menteri Besar Kedah di zaman Allahyarham Dato' Kama Jaya Syed Nahar Shahbudin. Saya kenal mereka kerana di waktu saya meminjamkan wang kepada petani di Kedah di semasa bertugas di The Chartered Bank mereka telah banyak menolong saya untuk mencari tempat peminjam wang yang telah menghilangkan diri dan tidak membayar hutang. Tanpa bantuan mereka agak susah mencari di mana tempat tinggal sekitar 25,000 orang peminjam pada waktu itu. Rancangan pinjaman bank ini sedikit sebanyak telah menyelamatkan peminjam wang dari belenggu orang tengah yang sifatnya tidak berbeza dengan 'Ah Long' di kota-raya. Bila pihak bank menghentikan skim pinjaman ini dan pihak orang tengah telah membalas dendam mereka maka petani tiada pilihan kecuali untuk berdemonstrasi. Tetapi oleh kerana Tentera Sabilullah ini dipimpin oleh Bung Isa, bekas Setiausaha Agung Parti Melayu Semenanjung yang menyokong Soekarno yang didukong oleh PKI, diwaku itu, dan diharamkan, di waktu Konfrontasi Indonesia ke atas Malaysia maka label komunis telah diberi kepada mereka.
37. Saya sungguh sedih apabila Tun Ghazali tidak mahu merubah fikiran dan terus mengekalkan mereka di dalam tahanan ISA walaupun saya tahu mereka, yang pernah bergerak membantu saya, bukan sebagai komunis. Malah seorang darinya ialah Cikgu Yaakob Lebai Man sahabat saya dari kecil waktu saya tinggal di Telok Amboi, Kota Kuala Muda, Kedah di mana Lebai Man menjadi siak di masjid keluarga saya di sana. Sebaik sahaja Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri, Geng Kermit ini telah dibebaskan dan saya telah bekerjasama dengan Tuan Haji Yusof di Bagan Serai untuk menubuhkan badan baru secara terpisah dari Bung Isa, yang dinamakan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia dengan singkatan PEKIDA. Walau bagaimanapun Bung Isa telah berjaya juga menubuhkan saingan kecil kepada PEKIDA yang bernama PEKIMA yang diluluskan pendaftarannya di waktu Tun Musa Hitam menjadi Menteri Dalam Negeri dan Timbalannya Dato' Radzi Sheikh Ahmad.
LAMBAT LAUN MELAYU KEMBALI BERSATU DAN SETIA PADA BANGSANYA
38. Dalam satu peristiwa lain yang banyak memberi pengajaran kepada saya ialah apabila Tun Ghazali memanggil saya ke pejabatnya untuk memberitahu seorang pensyarah Melayu dari universiti bernama Rahman sudah menjadi anggota Parti Komunis Malaya. Tun Ghazali kelihatan bimbang dan beliau bertanya 'kenapa adik rileks saja mendengar berita ini?' Saya berkata kepada Tun Ghazali sebabnya beliau tak perlu bimbang sangat. Pada pemerhatian saya bila Melayu yang berakal menjadi ahli pergerakan komunis maka alamatnya pergerakan komunis itu akan hilang bisanya. Lebih-lebih lagi apabila pensyarah tadi menjadi komunis kerana terlalu kesal dengan nasib Melayu masakini. Saya yakin sebagaimana Musa Ahmad boleh kembali ke pangkuan bangsanya semua tokoh Melayu yang kecewa, yang mencari cara lain untuk membela bangsanya, akan kembali bersatu ke pangkuan bangsanya apabila keyakinannya dapat dikembalikan.
39. Saya memberi contoh pergerakan Freemason yang tersangat rahsia pergerakannya. Saya kenal ahli-ahli Freemason Melayu waktu saya bekerja di The Chartered Bank, Jalan Raja, Kuala Lumpur di mana terdapat akaun Freemason di bawah nama bendaharinya, yang bekerja di UOB di Singapura. Saya kenal siapa yang menjadi ahli pergerakan ini apabila mereka memasukkan yuran mereka ke akaun berkenaan. Saya perhatikan apabila keadaan dalam negara telah heboh mengutuk Freemason maka pemimpin-pemimpin Melayu yang menjadi anggota Freemason telah berhimpun di Equatorial Hotel untuk membuat penjelasan bahawa mereka tidak akan mengkhianati bangsanya dengan menjadi ahli Freemason. Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman sendiri telah menjelaskan bahawa beliau menjadi ahli sebagai 'cara nak berkawan saja ... tak ada apa-apa pun.... bukan badan politik pun. ... kalau mereka rugikan Melayu saya takkan ikut mereka...'
40. Sepanjang 4 bulan selepas pensyarah universiti dikesan sebagai anggota PKM pihak perang saraf pun telah menyebarkan propaganda menyatakan pensyarah tadi sudah murtad kerana komunis tidak mengakui ugama. Tiba-tiba sampai ke kementerian video yang menunjukkan pasukan PKM sedang dalam latihan perarakan kerana menyambut majlis Maulud Nabi. Rahman tak tahan dikatakan murtad. Sebagaimana juga Melayu yang dituduh komunis, dan ditemui oleh Sheik Mohsein juga cuba membuktikan komunis dan Islam banyak persamaan.
41. Tun Ghazali dan saya telah merumuskan bahawa agak susah, bagi sesiapa pun, untuk berpakat dengan orang Melayu dalam apa jua rancangan untuk mengkhianati bangsa dan ugamanya sendiri. Lambat laun orang Melayu akan sedar dan kembali ke pangkal jalan dalam perjuangannya.
42. Saya perhatikan dalam keadaan persepsi yang kucar-kacir mengenai UMNO, PAS dan PKR bangsa Melayu sedang tercari-cari siapakah yang boleh dipercayai untuk menyatupadukan mereka. Kini, UMNO yang telah banyak ditinggalkan oleh orang-orang Melayu dalam PRU 12 sedang menagih sokongan Melayu; PAS juga dalam usaha gigih menawan bukan Melayu sedang ditinggalkan Melayu; PKR sedang menghadapi masalah ditinggalkan oleh Melayu kerana kepentingan peribadi pemimpinnya.
43. Kini Tun Ghazali Shafie sudah meninggalkan kita. Semoga keyakinan yang ada padanya tidak terlambat dihayati oleh bangsa Melayu yang ditinggalkannya. Semoga Melayu akan bersatu semula apabila setiap pemimpin sudah sedar badai dan gelombang yang sedang diharungi, dengan cara sekarang, mungkin akan menjatuhkan maruah bangsa Melayu yang tercinta ini buat selama-lamanya.
44. Sama-samalah kita do'akan semoga Tun Ghazali Shafie mendapat tempat istimewa di sisi Allah s.w.t..